Kedatangan Ramadhan Membawa Rahmat
Selamat menyambut kedatangan ramadhan al-Mubarak. Bulan yang penuh rahmat, keampunan, kenikmatan dan keagungan.
Sesungguhnya kelebihan dan keistimewaan Ramadan bukan lagi satu rahsia. Allah sudah memilih daripada bulan ini satu detik paling bersejarah dalam kehidupan umat sejagat, iaitu detik turunnya kitab suci paling agung. Kitab yang diturunkan khusus untuk memimpin tangan manusia ke jalan yang benar.
Bulan itu bukan sekadar nikmat, tetapi penuh ujian serta peluang melipatgandakan amal dakwah mendekatkan kita pada jalan Allah. Persediaan dan perancangan perlu dilakukan untuk memaksimumkan segala peluang pada Ramadan ini. Pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan dibelenggu.
Kita maklum, sebarang amal kebajikan yang dilakukan akan diberi balasan berganda. Martabat pahalanya lebih tinggi jika ia dilakukan pada Ramadan. Sunat diberikan pahala wajib, yang wajib digandakan dengan gandaan berdasar keredaan kurniaan Allah. Hukum meninggalkan puasa tanpa uzur syar’ie adalah fasik dan berdosa besar.
Antara persiapan yang perlu dilakukan menjelang Ramadan ialah :
- Persediaan diri untuk berpuasa. Seminggu sebelum berpuasa kita dikehendaki mengurangkan kadar makanan kita dan lebihkan makan buah-buahan serta sayur-sayuran. Pastikan pembuangan air besar lawas.
- Memahirkan diri dengan segala rukun, sunat, harus, makruh yang berkaitan dengan puasa pada Ramadan, sunat tarawih dan lain-lain lagi.
- Membiasakan diri bangun pada sepertiga malam untuk bertahajud, mendekatkan diri pada Allah. Sebagai persediaan membiasakan tarawih dan tahajud pada Ramadan. Ramadan adalah bulan rukuk dan sujud.
- Memperuntukkan beberapa jumlah wang untuk dijadikan sedekah jariah dan zakat fitrah. Bagi mereka yang sudah akil baligh, maka belajarlah membayar zakat fitrah sendiri.
- Rancang strategi tersusun untuk memperbanyakkan hafalan, bacaan, tadabbur, tadarrus al-Quran.
- Melatih dan membentuk diri bersifat mahmudah, sifat terpuji seperti sabar, membanyakkan senyuman kepada sahabat dan kerabat.
- Menjauhi sifat mazmumah, sifat keji seperti memfitnah, mengumpat dan mengata orang. Kurang bercakap lagha (merapu), tidak berbahasa lucah, kotor dan keji.
Keistimewaan Bulan Ramadhan
- Diampunkan dosa yang lalu
- Bergembira ketika berbuka
- Allah sendiri memberi pahala kepada orang berpuasa
- Dikurniakan pahala tujuh ratus kali ganda
- Masuk syurga melalui pintu Rayyan
- Dikabulkan doa
Perkara-perkara yang disunatkan bagi orang-orang yang berpuasa adalah:
- Menyegerakan berbuka puasa manakala telah yakin masuk matahari.
- Berbuka puasa dengan buah tamar atau makanan yang manis.
- Membaca do’a yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w.
- Makan sahur
- Menta’khirkan (melambatkan) makan sahur, tetapi janganlah sampai masa yang disyak naik fajar.
- Mandi kerana mengangkat hadath besar sebelum fajar.
- Membanyakkan bersedekah dan ibadah sunat seperti membaca Al-Quran, sembahyang sunat seperti Tarawih dan Witir.
- Memperbanyakkan ik’tikaf di masjid.
Sekian, Wassalam.
Disediakan oleh : Panitia Pendidikan Islam SMKPT 2009
No comments:
Post a Comment